Berikan Aku Cinta : Bab 2




BAB 2*

“Kalau kamu lemah dalam subjek ni, saya cadangkan kamu untuk mencari sesiapa saja yang lebih tahu dengan mendalam lagi. Itu pun, jika kamu tidak sempat untuk bertemu dengan saya untuk menyoal soalan yang kamu tidak faham. Saya tahu, ada di antara kamu yang boleh tolong kawan-kawan kamu yang lemah. Saya harap, kamu boleh tolong antara satu sama lain. Saya tak minta untuk kamu dapat A dalam subjek ni. Kalau ada usaha, adalah rezeki kamu. Kalau kamu usaha lebih, lebihlah kamu dapat,” dengan panjang lebar Cikgu Maznah menasihatkan pelajarnya agar dapat melalui kesukaran dalam subjek Matematik Tambahan yang di katakan, rumit oleh setiap pelajar yang mengambilnya.

Selesai saja Cikgu Maznah memberi sepatah dua kata, dia membenarkan pelajar-pelajarnya pulang setelah mereka lewat sepuluh minit di dalam kelas sebelum waktu pulang di jam 1 petang.
Geseran kerusi di dalam kelas itu mula berbunyi tatkala pelajar-pelajar mula bangun sambil mengemas barang. Suasana yang hingar dengan suara pelajar menjadikan ruang di dalam kelas itu, bising seketika sebelum semuanya beransur pulang. Tinggal Nuraini saja kerana terlampau banyak barang di keluarkan dan di simpan kemas di tempat asal. Seorang lelaki menghampirinya sambil tersenyum manis.

“Boleh saya tolong?” Zamri menghulurkan bantuan ikhlas sedangkan dia ingin mendekati wanita itu. Dia sesekali tidak akan melepaskan peluang untuk bersama wanita itu jika tinggal mereka berdua saja.

“Tak payah! Saya bukan simpan batu. Tak perlu susahkan awak sebab semua ni barang saya. Saya tahu macam mana nak kemas,” pantas Nuraini menghalang gara-gara tidak senang dengan kehadiran lelaki itu. Dia sekadar menjeling melihat lelaki itu sekilas kerana tidak berminat untuk melayan. Bukan main cepat lagi Nuraini bila selesai sudah semuanya, terus dia beredar meninggalkan kelas serta lelaki itu keseorangan.

Zamri tersenyum suka. Dia gembira kerana dapat melihat wajah itu bila dalam keadaan marah. Sangat cantik di matanya. Sebab itu dia terpikat. Di tambah lagi dengan kejelitaan yang di miliki oleh wanita itu.

Tanpa berlengah lagi, Zamri mengikut wanita yang berbaju kurung putih dan kain biru muda serta betudung litup itu menuruni anak tangga. Sengaja dia melambatkan langkah agar tidak di syaki bahawa dia sedang di ekori dari belakang. Setelah memastikan wanita itu sudah jauh dari kawasan tangga, Zamri berjalan seperti biasa.

Melilau-lilau mata Nuraini mencari kelibat kereta ayahnya jika sudah sampai di depan pintu pagar sekolah. Namun hampa. Dia duduk dulu sementara menunggu ketibaan ayahnya di kerusi batu yang di sediakan di pondok menunggu. Nuraini melihat sekeliling pula. Masih ramai lagi pelajar yang tidak pulang. Jam baru saja menunjukkan pukul 1.30 petang. Dia berputus untuk membelek buku teks untuk melihat latihan yang perlu di buat.

“Hai,” sapa seseorang yang sudah pun terpacak di hadapannya. Tanpa di pelawa, lelaki itu duduk di sebelahnya yang masih lagi kosong. Lelaki itu tersenyum manis.

Nuraini melihat sekilas wajah itu. Berderau darahnya naik ke muka kerana bersua muka lagi buat kali kedua. Lagi-lagi, wajah lelaki ini saja yang perlu di tatap bila hendak pulang. Dia lebih rela pandang muka pak cik guard yang kerja di pondok pengawal sekolahnya itu.

“Baca buku apa tu?” tanya Zamri sekadar suka sedangkan dia tahu wanita itu sedang melihat buku teks Matematik Tambahan berwarna kuning keemasan. Di samping itu, di hiasi dengan beberapa bulatan di hadapannya berwarna hitam.

Sekali lagi Nuraini mendengar soalan bodoh. Sudahlah duduk di tepinya tetapi masih buta, buku apakah yang sedang di pegangnya itu. Lantas Nuraini menutup buku teks itu dan meletakkan semula di sisinya bersama fail dengan kasar secara tidak sengaja. Semuanya dek lelaki yang datang menyapanya itu.

“Marah ke saya tanya?” Zamri menyoal bila tersentak dengan tindakan dari wanita itu.
“Tak marah tapi menyampah!” seranah Nuraini dengan suara yang sedikit tinggi. Tanpa di duga, ada juga mata yang di situ mula memandang pelik ke arahnya. Dia juga yang tanggung malu. Rasa mahu di halau saja lelaki itu dari menganggunya. Tetapi, apa pula kata orang yang berada di sekelilingnya? Mesti pelajar di situ akan menganggap dia sombong. Hal lain pula yang akan terjadi.

“Kenapa?” tanya Zamri lagi pura-pura tanya.

Ya Allah…! Ambil add math tetapi bengap macam duduk di kelas akhir. Asal geram sangat aku dengan lelaki ni. Bahasa Melayu bukan main pandai lagi tapi tak faham-faham bahasa. Cikgu pulak, puji bukan main lagi bila karangan dia panjang lebar macam buat cerpen. Dah tanya soalan bodoh, aku siap tunjuk protes lagi, boleh tanya, “Kenapa?”. Manusia zaman logam agaknya. Hati Nuraini sudah sumpah-seranah lelaki itu. Sengaja cari penyakit nak sakitkan hati dia. Time tengah hari pulak tu. Lagilah panas!

“Awak tanyalah diri awak sendiri,” ujar Nuraini mula bangun ketika kelibat kereta ayahnya sudah sampai di depan pondok menunggu.

Zamri sudah pun terpinga-pinga di tinggalkan begitu saja tanpa mengetahui lebih lanjut sebab wanita itu marah padanya. Akan tetapi, hatinya tetap bergembira kerana masih berpeluang untuk berbual dengan gadis itu walaupun tidak beberapa mesra yang di harapkan. Sehari tidak menatap wajah itu, terasa hidupnya seakan kosong bagai tidak punya makna.

Dia yang tidak mahu membuang masa itu, mula bangun mendapatkan basikal yang di tinggalkan tadi di tepi pondok menunggu. Nasib baik tiada siapa yang mengambilnya semasa dia sedang asyik dengan cinta hatinya itu. Zamri mula mengayuh laju meninggalkan kawasan itu. Dia ingin pulang ke rumah untuk menyiapkan kerja rumahnya yang di beri guru tadi.

“Dah banyak kali ayah tengok Ain dengan budak lelaki tu. Ada apa-apa ke dengan dia?” tanya Encik Nazman buat kali kedua bila tersempak lagi dengan pelajar lelaki itu bersama anak perempuannya. Dia hairan, seperti sedang melakukan aksi menawan hati pula jadinya tetapi jelas di matanya seperti anaknya itu tidak selesa akan kehadiran lelaki tinggi lampai tadi.

“Tak ada apa-apalah ayah. Ain tak berapa rapat sangat dengan dia,” ujar Nuraini sudah mula bosan dengan soalan dari ayahnya.

“Ain tak rapat dengan dia tapi dia nampak rapat dengan Ain. Dia ada hati dengan Ain agaknya,” duga Encik Nazman membuat spekulasi. Dia sudah pun tersenyum memandang anaknya yang sudah pun bermasam muka.

“Tak adalah. Ain kan belajar lagi. Lagi pun, Ain bukan suka sangat dekat dia pun. Benci lagi adalah. Suka sangat kacau Ain hari-hari,” adu Nuraini tiba-tiba meluahkan rasa geram di hati yang masih berbaki dek kejadian tadi.

“Jangan benci sangat. Nanti, orang yang di benci itulah yang kita akan sayang suatu hari nanti,” pesan Encik Nazman awal-awal lagi. Dia hanya memberitahu perkara yang sememangnya bakal terjadi pada sifat manusia yang boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Nak sayang lelaki tu? Rasa macam nak kiamat esok lusa. Dahlah ganggu aku tak putus-putus. Sampai naik jemu aku melayan lelaki yang tak akan faham-faham bahasa Melayu. Harapkan pandai je tapi bengap tahap dewa. Sekali lagi Nuraini menghamburkan sumpah-seranah terhadap lelaki itu sekadar di dalam hati. Bila tiba saja soal lelaki itu, hatinya panas serta-merta. Tak pernah nak menyejukkan hati.

“Orang dah buat sakit hati kita, nak sayang buat apa lagi. Buang masa je,” luah Nuraini tetap dengan pendiriannya yang mungkin tidak berubah demi lelaki itu.

“Macam mana kalau orang tu nanti, akan sejukkan hati kita dan sayang pada kita? Mesti masa takkan terbuang begitu saja,” penuh makna Encik Nazman membalas seolah-olah tidak berapa setuju akan kenyataan anak perempuannya.

“Apa maksud ayah ni? Nak suruh Ain kahwin dengan dia apa,” Nuraini cuba menangkap kata-kata ayahnya tadi dan di kumpulkan menjadi satu agar dapat mencari jawapan tersirat dari penyataan itu.

“Kalau itu dah jodoh, Ain kena terima dengan hati yang terbuka. Tak ada perasaan cinta pun tak apa. Boleh pupuk lepas kahwin nanti,” tutur kata Encik Nazman membuatkan sedikit dahi Nuraini berkerut tanda semakin tidak mengerti.

“Ayah pun, sama je macam lelaki tadi. Cepat betul kalau cakap pasal kahwin,” getus Nuraini malas mahu berbahas lagi perihal itu.

“Ayah tak maksudkan apa-apa dan tak terniat ayah nak jodohkan dengan pilihan ayah mahu pun mak Ain sendiri. Semuanya Ain dapat fikir dengan baik sebab Ain dah besar panjang. Dapat fikir baik buruk sesuatu perkara sebelum melaksanakannya,” Encik Nazman tidak putus memberi nasihat. Dia tidak mahu anak perempuannya terlalu mengawal ego diri sehinggakan terbawa-bawa ke dalam kehidupan yang lebih mencabar.

Nuraini tidak lagi menatap wajah Encik Nazman, sebaliknya membaling pandangan ke luar tingkap. Lebih baik dia berhenti bercakap dari soal itu sebelum meleret lebih panjang dan sekadar memanaskan hatinya lagi yang kian mengeleggak ke suhu tertinggi.

Biarlah siapa jodoh dia pun. Dia tidak kisah jika lelaki tersebut tidak sesempurna lelaki lain. Paling penting, penerimaan dirinya dari lelaki itu harus di utamakan kerana itulah yang akan membawa ke kasih sayang antara satu sama lain.

**continue bab 3





0 Comment:

 

Facebook Page

About Me

Hi, Selamat datang ke BLOG Gmeyz, Semua cerita suka duka gmeyz ada kat sini sampai bila2.. Baca kalau rasa suka, blah kalau rasa menyampah.. make it easy.. bye..!