Berikan Aku Cinta : Bab 11



BAB 11*


Pertemuan mereka berdua kali ini, berasa janggal bagi Nuraini. Entah kenapa lelaki di hadapannya itu sunyi saja tanpa sepatah bicara. Jika di tanya, hanya jawapan ringkas saja yang di keluarkan. Dia melihat saja lelaki itu merenung penuh khusyuk buku di hadapannya. Tanpa sedikit pun berpaling padanya. Entah masuk atau tidak apa yang tertulis di buku itu atau melayang entah ke mana. Dia tidak berani untuk menegur melihatkan suara lelaki itu hanya kendur saja nadanya. Dia takut nada itu akan berubah menjadi lebih tinggi. Tidak pasal-pasal, hilang terus mood lelaki itu untuk mengajarnya hari ini. Peperiksaan matematik tambahan semakin dekat. Dia tidak mahu perkara tidak di ingini berlaku di saat-saat penting begini.

“Awak okey ke?” tanya Nuraini penuh prihatin. Dia bimbang jikalau ada apa-apa yang menganggu fikiran lelaki itu. Bukan bermaksud nak jaga tepi kain orang tapi lebih kepada kesian. Dia rasa tidak seronok jika berjumpa dengan lelaki itu kalau tidak ada perbualan santai antara mereka.

“Saya okey,” ucap Zamri tersenyum hambar. “Awak ada nak tanya apa-apa ke?” Zamri cepat-cepat beralih tajuk. Dia tidak mahu wanita it uterus bertanyakan keadaan dirinya yang sedang kusut dengan masalah. Melihat wajah wanita itu, menjadikan dirinya setenang lautan tanpa ada yang berlayar. Ingin saja dia meluahkan rasa cinta itu kepadanya tetapi hatinya melarang.

“Saya tak faham soalan ni. Kalau tak silap saya, bab Linear Law,” kata Nuraini menghulurkan buku yang mengandungi soalan yang kurang dia faham. Zamri sekadar menyahut dan meneliti soalan yang di berikan.
Setelah itu, barulah Zamri menerangkan satu persatu langkah yang perlu di ambil kira bagi mendapatkan markah di dalam peperiksaan. Nuraini pula, mendengar penuh minat dan ingin tahu. Sesekali, dia memandang wajah kacak lelaki itu. Dia memuji ketampanan lelaki itu di dalam hati. Tidak kurang juga sanggup menjadi guru tuisyennya dalam subjek matematik tambahan untuk dia sahaja.

Zamri yang perasan dirinya di renung tajam oleh wanita itu mula tidak keruan. Perlahan-lahan dia membetulkan duduknya. Nuraini pula seakan baru tersedar bahawa lelaki itu sedikit bergerak menandakan dia kurang selesa bila di tenung olehnya. Dia juga terasa malu kerana silapnya juga.
“Awak tenung saya ke?” soal Zamri menongkat kedua-dua lengannya di atas meja.

“Tak adalah. Saya tengok awak macam tak ada mood je. Awak ada masalah ke?” Nuraini beralih pada soalan. Sekadar menghilangkan gugupnya di hati.
“Hari ni saya penat sikit. Banyak aktiviti hari ni,” ucap Zamri sambil tersenyum manis. Kali ini, senyumannya ikhlas.

“Jadi, awak tak rasa terpaksa kita jumpa hari ni? Takut ganggu awak berehat pulak,” ujar Nuraini dalam nada bersalah.
“Tak apa. Tengok awak je, saya rasa bertenaga sangat nak mengajar hari ni,” tutur Zamri seloroh lalu ketawa kecil di hujung kecil. Cuba berjenaka walau fikirannya agak kusut akhir-akhir ini.
Ceh! Macamlah muka aku ni air tin RedBull. Tengok je, terus ada tenaga. Nampak sangat menipunya. Kutuk Nuraini di dalam hati. Mahu di luah, tinggallah dia keseorangan di sini di Restoran Secret Recipe di kelilingi orang yang dia tidak kenali.

“Awak, awak tak bosan ke asyik study je? Saya dah naik jemulah,” tiba-tiba, Nuraini bersungut meluahkan apa yang dia rasa sekarang.
“Kalau sampai di sini awak jemu, macam mana awak nak lulus exam additional mathematics awak tu? Awak juga kata tak nak pisang berbuah dua kali. Lebih berusaha dari sekarang supaya awak lebih yakin bila awak menjawab soalan SPM sebenar nanti. Masa tu, awak akan rasa menyesal tak sudah. Lulus atau gagal, itu nombor dua. Paling penting, usaha saja dari sekarang,” seringkas yang boleh Zamri cuba menasihati cinta hatinya itu dalam diam. Jikalau tidak pun, dia tetap akan menasihati kerana mereka berdua mempunyai misi yang sama. Ingin lulus semua subjek yang mereka ambil.

“Kan bagus kalau esok terus SPM,” Nuraini sudah mula merapu. Dia tidak tahu apa yang dia ujarkan itu. Mindanya bercelaru antara rungsing dan bimbang.
“SPM lambat lagilah yang kita kena usaha dari sekarang. Bukan 5 minit nak masuk dewan, awak baru nak cover semua. Bila kita bermula dari sekarang, awak cover setiap bab. Contoh bab 1 tingakatan empat. Awak buat latihan banyak-banyak dan menguasai pelbagai soalan dan bila awak rasa yakin dan boleh, awak beralih pula bab seterusnya dan hingga ke akhir. Paling mudah, awak tengok kertas sebenar exam add math tahun lepas. Awak tengok dan awak pilih siap-siap bab mana yang awak nak kuasai dan mampu buat. Dengan itu, awak carilah bab yang awak nak fokus untuk kertas add math nanti dan jawab yang tertentu saja. Bukan semua chapter kita jawab. Saya rasa, perkara itu awak tahukan,” Zamri sudah masuk ke bab motivasi free. Nuraini sekadar tercengang bagaikan patung baru siap di situ mendengar penuh teliti.

“Itu saya tahu tapi takkan awak tak nak rehat langsung kot? Makan or minum ke sekejap atau awak puasa hari ni?” tanya Nuraini selamba apabila mereka tidak menjamah sebarang makanan dan minuman sejak mereka sampai tadi.
“Oh, awak lapar rupanya. Kenapa tak cakap dari tadi? Awak nak makan apa? Saya pergi buat pesanan,” tanya Zamri mewakilkan diri untuk ke kaunter

“Awak ambil apa-apa pun tak apa. Saya tak kisah,” ujar Nuraini sedikit tidak cerewet dalam pemilihan makanan.
“Okay,” Zamri mengangguk lalu pintas bangun dari kerusi. Nuraini hanya menghantar lelaki itu dengan pandangan mata. Dia masih memerhati saat lelaki itu sudah pun berada di kaunter. Bagaikan magnet masih tidak berganjak sedikit pun sehingga lelaki itu pulang ke meja dan duduk semula seperti biasa.

“Awak order apa?” Nuraini sekadar bertanya ingin tahu.
“Saya order fish and chips dan untuk awak saya ambil spaghetti. Okay kan untuk awak?” Zamri meminta kepastian. Takut-takut makanan itu bukan di sukai oleh wanita itu.

“Okay. Memang kesukaan saya tu,” jawab Nuraini tersenyum suka bila lelaki itu memesan makanan kegemarannya tanpa dia beritahu sendiri. Dia berfikir sejenak. Melihatkan makanan yang dia pesan pun sudah jelas lelaki itu berselera orang putih. Fish and chips. Desis hati Nuraini.
“Awak, lepas makan awak nak terus balik atau nak sambung lagi?” tanya Nuraini kerana mereka terlalu lama berdua di situ. Terasa sehari suntuk bersama lelaki di restoran ini kerana mengulang kaji pelajaran.
“Terpulanglah pada awak. Saya tak kisah. Kalau awak rasa larat lagi, sambung. Kalau penat, kita boleh sambung hari lain,” usul Zamri memberi pilihan. Dia tidak boleh membuat keputusan. Dia hanya menolong wanita itu saja dan Nuraini lebih berhak membuat pilihannya sendiri.

“Kalau macam tu, kita sambung sikit lagi ya. Lepas tu, baru kita balik,” Nuraini terus memberi kata putus. Agar Zamri tidak tertanya-tanya dengan pilihannya. Lagi pula, terasa menganggu pula lelaki itu untuk mengulang kaji juga bersama teman-temannya yang lain. Dia juga begitu. Tetapi, hanya mata pelajaran matematik tambahan saja dia meluangkan masa bersama lelaki itu yang pandai dalam subjek tersebut. Zamri mengangguk setuju.

Dalam kelasnya, hanya dia lihat Zamri saja yang pandai subjek itu. pelajar lain ada tapi tidak berani untuk bertanya dek malu. Di tanyakan saja pada lelaki itu. Alang-alang sudah kenal lama, di tanya saja tanpa rasa segan berbanding pelajar lain yang kebanyakkan hanya pelajar cina yang banyak menguasai bab di dalam subjek matematik tambahan.
Setelah lama menunggu, pesanan mereka berdua sampai di meja yang di bawa oleh pelayan restoran Secret Recipe itu. Mereka berdua mula menjamah. Tiada bicara pun antara mereka semasa makan. Masing-masing dengan makanan sendiri. Buku pula sudah pun di alihkan ke tepi bagi memberi ruang kepada hidangan mereka dan juga segelas minuman.

Nuraini tidak khusyuk dengan makanan sendiri. Sesekali matanya merenung tajam wajah lelaki di hadapannya yang sedang enak dengan makanan. Oleh kerena tidak mahu di syaki apa-apa, dia kembali menumpu sepenuh perhatian pada makanannya sehingga habis.


**Continue Bab 12




0 Comment:

 

Facebook Page

About Me

Hi, Selamat datang ke BLOG Gmeyz, Semua cerita suka duka gmeyz ada kat sini sampai bila2.. Baca kalau rasa suka, blah kalau rasa menyampah.. make it easy.. bye..!